PUTRAJAYA: Kemampuan 924 guru besar di beberapa sekolah di seluruh negara yang dikenal pasti berjaya meningkatkan prestasi sekolah mereka bakal menerima ‘durian runtuh’ RM7,500 yang dijangka diberikan selepas pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.
Tawaran yang dibuat sebagai inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu itu diberikan kepada guru besar dan guru yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah berdasarkan syarat ditetapkan. Berdasarkan tawaran itu guru besar yang layak bakal menerima RM7,500 seorang, manakala lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang.
Muhyiddin berkata, ganjaran melalui Tawaran Bai’ah yang diumumkan kementerian pada tahun lalu itu diberikan berdasarkan kemampuan guru besar berkenaan mencapai sasaran ditetapkan. Beliau berkata, jemaah nazir sedang membuat pengesahan prestasi semua guru besar berkenaan dan guru yang bersama berusaha melonjakkan prestasi sekolah turut akan menerima ganjaran seperti yang dijanjikan.
“Ganjaran yang diberi ini bagi memberikan galakan dan dorongan kepada guru besar dan guru bagi meneruskan usaha meningkatkan prestasi termasuk pencapaian prestasi cemerlang di sekolah masing-masing,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di, sini, semalam.
Turut hadir, dua timbalan menterinya, Datuk Wee Kah Siong, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ganjaran itu adalah satu perkara baru yang tidak pernah dilaksanakan perkhidmatan awam di negara sebelum ini.Beliau berkata, tawaran itu adalah idea berani yang jika dilaksanakan secara telus dan adil akan menjadi dorongan paling berharga kepada guru bagi meningkatkan kerja masing-masing.
“Kejayaan tawaran yang baru setahun dibuat itu menunjukkan hasil apabila jumlah guru besar yang berjaya memimpin sekolah bagi melepasi sasaran prestasi ditetapkan memang di luar jangkaan,” katanya.
...................................... Dari harian Metro Online 11 Februari 2011.
0 Komen:
Post a Comment